Friday, January 29, 2010

REMEDI TRADISIONAL BAGI JANTUNG


APA Itu Kolesterol?

Kolesterol adalah molekul yang dijumpai dalam setiap sel dalam tubuh dan hadir dalam sejumlah besar dalam tisu-tisu saraf dan otak.

Kolesterol juga hadir dalam kulit, kelenjar adrenal dan hati serta menjadi bahan penting dalam selaput berlemak yang menjadi penebat kepada saraf. Ia penting kepada struktur dan fungsi semua sel dalam tubuh, selain menjadi komponen penting kepada membran sel.

Kolesterol yang terhasil dalam tubuh adalah daripada hati (iaitu 80 peratus) manakala selebihnya datang daripada makanan.

Walaupun ia diperlukan oleh tubuh, namun kolesterol yang berlebihan yang tidak digunakan oleh tubuh akan memberi risiko dan membahayakan kesihatan.

Senaman, Diet dan Suplemen

Kolesterol dalam kebanyakan kes boleh dikawal melalui diet, senaman, pengambilan suplemen, pengurangan stres dan juga perubahan lain dalam gaya hidup. Senaman fizikal memberi kesan yang signifikan ke atas kejadian dan perkembangan aterosklerosis.

Tujuannya adalah untuk memperolehi paras LDL (kolesterol berbahaya) dan trigliserida yang rendah dalam darah, iaitu pada tahap di mana lemak dalam plak dan arteri dihapuskan dan kolesterol kembali ke paras selamat dan normal.

Guggul yang juga dikenali sebagai Commiphora Mukul atau Guggulipid adalah herba yang berkesan dalam mengawal kegemukan dan kolesterol, yang telah digunakan selama 2,000 tahun.

Secara tradisionalnya ia dikenali sebagai agen membakar lemak dan kini semakin popular di Amerika, Jepun, Eropah dan negara-negara Barat.

Ia telah lama diketahui dalam merendahkan kolesterol dan trigliserida, dan dalam masa yang sama mengekal atau memperbaiki nisbah high density lipoprotein (kolesterol berguna) dan low density lipoprotein (kolesterol berbahaya).

Pengambilan Guggul juga didapati boleh merendahkan kolesterol antara 14-27 peratus dan trigliserida antara 22-30 peratus.

Saranan harian adalah berdasarkan jumlah guggusterone (bahan aktifnya) dalam ekstrak tersebut. Guggul memberi kesan ke atas hati dengan meningkatkan metabolisme (atau memecahkan) kolesterol LDL.

Herba ini juga didapati berguna dalam menangani masalah aterosklerosis dengan mengurangkan plak dalam arteri.

Dalam kes kegemukan, guggul meningkatkan kadar metabolisme tubuh dan memperbaiki fungsi tiroid, meningkatkan aktiviti pembakaran lemak dalam tubuh dan meningkatkan pengeluaran haba.

Guggul mengurangkan platelet daripada pelekitan dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.

Ekstrak red yeast mempunyai bahan yang menyerupai statin (ubat yang digunakan untuk merawat masalah kolesterol) yang didapati menghalang sistesis kolesterol. Sejak tahun 1970-an kajian ke atas menunjukkan red yeast rice membantu merendahkan kolesterol total, low density lipoprotein (kolesterol berbahaya) dan paras trigliserida.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol, lesitin juga boleh diambil kerana ia membantu dalam pemecahan lemak.

Aktiviti fizikal seperti berjalan, joging, mengayuh basikal, berenang dipanggil senaman aerobik yang banyak manfaatnya kepada kesihatan jantung dan memperbaiki peredaran darah. Mulakan dengan intensiti yang rendah dan tingkatkannya secara perlahan.

Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi antara 3 hingga 5 kali seminggu. Senaman didapati membantu meningkatkan paras kolesterol berguna di samping merendahkan kolesterol berbahaya.

Faktor pemakanan seharusnya tidak boleh diabaikan dengan mengambil makanan yang tinggi kandungan serat, terutamanya melalui buah-buahan dan sayur-sayuran.

Antaranya termasuklah kekacang, oat dan barli. Begitu juga dengan jus karot, saderi dan sayuran lain tidak kurang pentingnya dalam membantu menyingkirkan lemak daripada badan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...