Friday, January 29, 2010

CEGAH PENYAKIT JANTUNG


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



APABILA membaca atau mendengar kisah orang diserang penyakit jantung, apa yang terlintas dalam fikiran?

Adakah simpati, insaf atau tidak berasa apa-apa kerana menganggap perkara itu tidak akan berlaku kepada kita?

Jika ini tanggapan anda, pertimbangkan semula kerana ramai pesakit jantung juga pernah mempunyai tanggapan sama.

Semua orang ada risiko untuk mengalami penyakit kardiovaskular atau jantung. Penyakit kardiovaskular adalah nama umum yang merujuk kepada beberapa keadaan membabitkan jantung dan saluran darah.

Sebarang penyakit yang menyebabkan jantung atau saluran darah gagal berfungsi dengan baik dipanggil penyakit kardivaskular.

Penyakit jantung koronari pula berlaku apabila saluran yang membekalkan darah ke jantung dan otak (arteri) tersumbat atau rosak. Apabila salur darah tersekat, aliran darah ke jantung dan otak berkurangan atau terhenti sama sekali.

Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kardiovaskular seperti serangan jantung, kerosakan otak, sakit dada dan kegagalan jantung. Jantung adalah organ kecil, hanya seberat 0.25 kilogram dan berdegup 72 kali seminit.

Cuba genggam kedua-dua belah tangan dan letakkan di tengah dada. Inilah saiz sebenar jantung dan bandingkan pula dengan saiz badan. Jika dibentang, secara purata salur darah kita sepanjang 27,000 kilometer. Adakah anda rasa jantung sekecil itu mampu mengepam 5.6 liter darah tiga kali seminit untuk jarak sejauh itu?

Jika anda kurus, tugas ini mungkin dapat dilakukan dengan mudah tetapi bagi yang obes, jantung terpaksa menanggung beban berat untuk bekerja keras supaya darah sampai ke semua anggota badan.

Sekarang cuba periksa degupan jantung. Jika degupan jauh melebihi paras normal (72 degupan seminit), bermakna anda perlu lakukan sesuatu untuk memastikan jantung dapat terus berfungsi dengan baik.

Rasanya semua orang tahu, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara ini. Hampir lapan peratus kematian yang berlaku di hospital adalah disebabkan penyakit kardiovaskular.

Seseorang itu boleh lebih mudah mendapat penyakit kardiovaskular berbanding orang lain. Faktor risiko sakit jantung boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor yang tidak boleh diubah dan boleh dikawal.

Faktor yang tidak boleh diubah ialah jantina dan umur (lelaki, berumur melebihi 45 tahun atau wanita berumur melebihi 55 tahun) yang mempunyai sejarah keluarga diserang sakit jantung. Contohnya, serangan berlaku pada usia muda, sama ada pada bapa atau adik-beradik lelaki sebelum 55 tahun dan ibu atau adik-beradik perempuan sebelum 65 tahun.

Namun kebanyakan kes serangan jantung berpunca daripada tabiat dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal (bersenam), kencing manis, paras kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi — yang semuanya boleh dikawal.

Penyakit jantung koronari biasanya mengambil masa lama untuk terbentuk dan ia berkait rapat dengan beberapa faktor seperti :

1. Tekanan darah tinggi.

2. Paras kolesterol tinggi.

3. Pemakanan tidak seimbang.

4. Kurang bersenam.

5. Obesiti.

6. Merokok.

7. Kencing manis.

Peningkatan kadar kematian akibat sakit jantung menggerakkan Pfizer Malaysia dengan kerjasama pakar perubatan terkemuka tanah air melancarkan Perkhidmatan Nasihat Awam Jantung Sihat (PASHH) yang menawarkan nasihat mengenai cara penjagaan, pencegahan dan pengurusan sakit jantung.

Antara lima pakar perubatan yang terbabit ialah perunding kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin; perunding endokrinologi, Dr Yap Piang Kiang; pakar pemakanan, Mary Easaw John; perunding fisioterapi, Kiren Sharma dan perunding kesihatan, Irene Nazira Lee.

Menurut Pengarah Pengurusan Pfizer Malaysia, John Latham, berdasarkan laporan kesihatan, masih ramai rakyat negara ini tidak mengendahkan kenyataan bahawa mereka sebenarnya berdepan risiko penyakit kardiovaskular.

Katanya, lebih menyedihkan ialah walaupun menyedari hakikat ini, masih ramai tidak mahu menerima nasihat atau mendapatkan rawatan kesihatan.

Justeru, PASHH dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran dan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kesihatan jantung.

Pakar Perubatan Kanan Pfizer Malaysia, Dr Vicknesh Wellupillai, berkata setiap hari ramai yang kehidupan mereka ‘dilumpuhkan’ oleh penyakit jantung, sedangkan ia boleh dicegah. Kaedah pencegahan paling mudah ialah mengurangkan berat badan berlebihan melalui amalan pemakanan seimbang dan senaman konsisten.

“Kedua-dua kaedah ini bukan saja boleh menurunkan berat badan, tetapi pada masa sama dapat meningkatkan tahap tenaga dan memperoleh jantung lebih sihat. Mesej inilah yang perlu disebarkan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

PASHH adalah perkhidmatan awam pertama memberi tumpuan kepada semua aspek kesihatan jantung bermula daripada cara hidup sihat, senaman, pemakanan dan langkah pemulihan seperti fisioterapi untuk pesakit strok atau pernah mengalami serangan jantung.

PASHH turut menawarkan risalah dan maklumat terkini berkenaan penyakit berkaitan sakit jantung seperti tekanan darah tinggi, kolesterol, kegemukan dan obesiti, kencing manis, strok serta soalan yang lazim ditanyakan pesakit.

Semua maklumat ini boleh didapati dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-888-236 atau melayari laman web www.myhealthyheart.com.my.

Orang ramai juga dipelawa mengajukan soalan untuk dijawab oleh pakar perubatan dengan menghantar e-mel ke pashh@myhealthyheart.com.my. Semua pertanyaan akan dijawab melalui e-mel atau faksimili dalam masa lima hingga tujuh hari.

Sebenarnya masih belum terlambat untuk memulakan penjagaan jantung. Tidak kira berapa umur anda, penjagaan jantung boleh dimulakan sekarang. Namun, anda disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan senaman, terutama jika anda :

1. Lelaki berumur 35 tahun ke atas.

2. Perempuan berumur melebihi 40 tahun.

3. Mengalami masalah berat badan berlebihan (tujuh kilogram dan lebih berbanding berat badan unggul).

4. Mempunyai keraguan terhadap status kesihatan diri sendiri.

5. Ada sejarah perubatan atau sedang menjalani rawatan dan mengambil ubat.

6. Tidak pernah bersenam atau tidak bersenam secara tetap.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...