Friday, January 29, 2010

CEGAH PENYAKIT JANTUNG


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



APABILA membaca atau mendengar kisah orang diserang penyakit jantung, apa yang terlintas dalam fikiran?

Adakah simpati, insaf atau tidak berasa apa-apa kerana menganggap perkara itu tidak akan berlaku kepada kita?

Jika ini tanggapan anda, pertimbangkan semula kerana ramai pesakit jantung juga pernah mempunyai tanggapan sama.

Semua orang ada risiko untuk mengalami penyakit kardiovaskular atau jantung. Penyakit kardiovaskular adalah nama umum yang merujuk kepada beberapa keadaan membabitkan jantung dan saluran darah.

Sebarang penyakit yang menyebabkan jantung atau saluran darah gagal berfungsi dengan baik dipanggil penyakit kardivaskular.

Penyakit jantung koronari pula berlaku apabila saluran yang membekalkan darah ke jantung dan otak (arteri) tersumbat atau rosak. Apabila salur darah tersekat, aliran darah ke jantung dan otak berkurangan atau terhenti sama sekali.

Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kardiovaskular seperti serangan jantung, kerosakan otak, sakit dada dan kegagalan jantung. Jantung adalah organ kecil, hanya seberat 0.25 kilogram dan berdegup 72 kali seminit.

Cuba genggam kedua-dua belah tangan dan letakkan di tengah dada. Inilah saiz sebenar jantung dan bandingkan pula dengan saiz badan. Jika dibentang, secara purata salur darah kita sepanjang 27,000 kilometer. Adakah anda rasa jantung sekecil itu mampu mengepam 5.6 liter darah tiga kali seminit untuk jarak sejauh itu?

Jika anda kurus, tugas ini mungkin dapat dilakukan dengan mudah tetapi bagi yang obes, jantung terpaksa menanggung beban berat untuk bekerja keras supaya darah sampai ke semua anggota badan.

Sekarang cuba periksa degupan jantung. Jika degupan jauh melebihi paras normal (72 degupan seminit), bermakna anda perlu lakukan sesuatu untuk memastikan jantung dapat terus berfungsi dengan baik.

Rasanya semua orang tahu, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara ini. Hampir lapan peratus kematian yang berlaku di hospital adalah disebabkan penyakit kardiovaskular.

Seseorang itu boleh lebih mudah mendapat penyakit kardiovaskular berbanding orang lain. Faktor risiko sakit jantung boleh dibahagikan kepada dua, iaitu faktor yang tidak boleh diubah dan boleh dikawal.

Faktor yang tidak boleh diubah ialah jantina dan umur (lelaki, berumur melebihi 45 tahun atau wanita berumur melebihi 55 tahun) yang mempunyai sejarah keluarga diserang sakit jantung. Contohnya, serangan berlaku pada usia muda, sama ada pada bapa atau adik-beradik lelaki sebelum 55 tahun dan ibu atau adik-beradik perempuan sebelum 65 tahun.

Namun kebanyakan kes serangan jantung berpunca daripada tabiat dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal (bersenam), kencing manis, paras kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi — yang semuanya boleh dikawal.

Penyakit jantung koronari biasanya mengambil masa lama untuk terbentuk dan ia berkait rapat dengan beberapa faktor seperti :

1. Tekanan darah tinggi.

2. Paras kolesterol tinggi.

3. Pemakanan tidak seimbang.

4. Kurang bersenam.

5. Obesiti.

6. Merokok.

7. Kencing manis.

Peningkatan kadar kematian akibat sakit jantung menggerakkan Pfizer Malaysia dengan kerjasama pakar perubatan terkemuka tanah air melancarkan Perkhidmatan Nasihat Awam Jantung Sihat (PASHH) yang menawarkan nasihat mengenai cara penjagaan, pencegahan dan pengurusan sakit jantung.

Antara lima pakar perubatan yang terbabit ialah perunding kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin; perunding endokrinologi, Dr Yap Piang Kiang; pakar pemakanan, Mary Easaw John; perunding fisioterapi, Kiren Sharma dan perunding kesihatan, Irene Nazira Lee.

Menurut Pengarah Pengurusan Pfizer Malaysia, John Latham, berdasarkan laporan kesihatan, masih ramai rakyat negara ini tidak mengendahkan kenyataan bahawa mereka sebenarnya berdepan risiko penyakit kardiovaskular.

Katanya, lebih menyedihkan ialah walaupun menyedari hakikat ini, masih ramai tidak mahu menerima nasihat atau mendapatkan rawatan kesihatan.

Justeru, PASHH dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran dan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kesihatan jantung.

Pakar Perubatan Kanan Pfizer Malaysia, Dr Vicknesh Wellupillai, berkata setiap hari ramai yang kehidupan mereka ‘dilumpuhkan’ oleh penyakit jantung, sedangkan ia boleh dicegah. Kaedah pencegahan paling mudah ialah mengurangkan berat badan berlebihan melalui amalan pemakanan seimbang dan senaman konsisten.

“Kedua-dua kaedah ini bukan saja boleh menurunkan berat badan, tetapi pada masa sama dapat meningkatkan tahap tenaga dan memperoleh jantung lebih sihat. Mesej inilah yang perlu disebarkan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

PASHH adalah perkhidmatan awam pertama memberi tumpuan kepada semua aspek kesihatan jantung bermula daripada cara hidup sihat, senaman, pemakanan dan langkah pemulihan seperti fisioterapi untuk pesakit strok atau pernah mengalami serangan jantung.

PASHH turut menawarkan risalah dan maklumat terkini berkenaan penyakit berkaitan sakit jantung seperti tekanan darah tinggi, kolesterol, kegemukan dan obesiti, kencing manis, strok serta soalan yang lazim ditanyakan pesakit.

Semua maklumat ini boleh didapati dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-888-236 atau melayari laman web www.myhealthyheart.com.my.

Orang ramai juga dipelawa mengajukan soalan untuk dijawab oleh pakar perubatan dengan menghantar e-mel ke pashh@myhealthyheart.com.my. Semua pertanyaan akan dijawab melalui e-mel atau faksimili dalam masa lima hingga tujuh hari.

Sebenarnya masih belum terlambat untuk memulakan penjagaan jantung. Tidak kira berapa umur anda, penjagaan jantung boleh dimulakan sekarang. Namun, anda disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan senaman, terutama jika anda :

1. Lelaki berumur 35 tahun ke atas.

2. Perempuan berumur melebihi 40 tahun.

3. Mengalami masalah berat badan berlebihan (tujuh kilogram dan lebih berbanding berat badan unggul).

4. Mempunyai keraguan terhadap status kesihatan diri sendiri.

5. Ada sejarah perubatan atau sedang menjalani rawatan dan mengambil ubat.

6. Tidak pernah bersenam atau tidak bersenam secara tetap.

PUNCA SERANGAN JANTUNG


Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



Rokok dengan 4,300 bahan kimia penyebab utama. MENURUT seorang teman, mendapat serangan jantung adalah pengalaman paling mengerikan. Katanya, dia tidak sedar jantungnya ada masalah kerana selama ini dia sering berasakan dirinya cukup sihat.

Memang banyak pendapat mengatakan penyakit jantung tidak mempunyai simptom, tetapi sebenarnya dua tanda penting perlu diperhatikan, iaitu sakit dada dan sesak nafas bila melakukan senaman atau pergerakan aktif.

Sakit dada biasanya menandakan saluran darah menjadi sempit atau tersumbat, manakala sesak nafas pula disebabkan masalah kegagalan jantung, sama ada yang mungkin berpunca daripada kerosakan injap. Dua tanda penting ini sering dianggap `masalah biasa’ tetapi ia amaran awal untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Semua orang tahu penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara kita. Tahukah anda, ia bukan saja mendahului carta penyakit berbahaya, tetapi jumlah kematian tahunan pesakit jantung juga jauh lebih tinggi iaitu dengan purata 6,500 kes berbanding kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya (6,000 kes).

Kemungkinan mengalami penyakit jantung di kalangan rakyat Malaysia sebenarnya setara dengan penduduk negara maju, iaitu satu kes bagi setiap 200,000 penduduk. Walaupun nisbah ini nampak kecil, ia tidak boleh dipandang ringan kerana faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung terlalu banyak.

Faktor utamanya ialah rokok. Perkara ini rasanya ramai tahu, tetapi jumlah perokok tetap bertambah walaupun harganya semakin mahal.

Berdasarkan kemasukan ke hospital, didapati hampir 90 peratus pesakit jantung, terutama yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, adalah perokok.

Biasanya rokok dikaitkan dengan kanser, terutama paru-paru. Bagaimana ia boleh menyebabkan serangan jantung pula? Menurut Perunding Kardiologi, Dr Lee Chiang Heng, lebih 4,300 bahan kimia berbahaya dalam asap rokok akan merosakkan sel badan yang penyebab kanser.

Pada masa sama, asap rokok ini merosakkan sel pada lapisan dalam (dinding) salur darah. Pada bahagian yang rosak inilah kolesterol akan melekat dan berkumpul. Lama kelamaan, penimbunan kolesterol ini menyempitkan arteri (salur darah) dan menyekat aliran darah.

Jantung adalah otot hidup dan memerlukan oksigen daripada darah. Bahagian yang tidak menerima darah akan mati dan ia boleh menyebabkan serangan jantung. Mungkin ada perokok menganggap masalah ini tidak akan berlaku kepada mereka kerana berasakan diri sentiasa sihat.

Memang benar, tetapi masalah utamanya ialah kebanyakan orang tidak menyedari simptom masalah jantung. Walaupun pemendakan kolesterol mengambil masa lama iaitu antara 20 hingga 30 tahun, tetapi jika anda mula merokok ketika remaja, anda berisiko tinggi mendapat serangan jantung dalam usia 30-an. Kata Dr Lee, senario seperti ini semakin meningkat dan membimbangkan.

Katanya, perkembangan industri tembakau di negara rantau Asia yang semakin rancak membuatkan kempen anti merokok kurang berkesan.

Sebenarnya industri tembakau mengalami banyak masalah di negara maju, terutama apabila mereka mendapat bantahan besar-besaran dan dakwaan ke mahkamah daripada bukan perokok yang turut menghadapi masalah kesihatan akibat asap rokok.

Justeru, industri ini beralih ke negara rantau Asia dan Afrika, termasuk Malaysia. Sedihnya, industri ini boleh dianggap berkembang pesat di negara kita dengan peningkatan jumlah perokok di kalangan remaja dan wanita.

“Kesan positif jika berhenti merokok dapat dirasai segera. Risiko serangan jantung menurun sehingga 50 peratus selepas setahun berhenti merokok dan selepas lima tahun, risiko ini sama dengan orang yang tidak merokok.

“Namun, risiko kanser tetap ada tetapi lebih rendah,” katanya sempena sambutan Hari Jantung Sedunia Ahad lalu.

KENCING MANIS

Faktor kedua serangan jantung ialah penyakit kencing manis yang tidak terkawal. Ini adalah masalah besar kerana jumlah pesakit kencing manis berganda setiap tahun. Perangkaan Jabatan Statistik 2005 menunjukkan hampir sembilan peratus penduduk Malaysia menghidap kencing manis.

Kata Dr Lee, kencing manis juga dikategorikan penyakit gaya hidup akibat masalah berlebihan berat badan, obesiti dan terlalu banyak makan makanan manis, sama ada dalam makanan dan minuman, terutama minuman ringan. Ini sebabnya kerajaan merangka untuk menetapkan kadar kandungan gula dalam minuman ringan supaya tidak memudaratkan pengguna.

Pun begitu, kita sebagai pengguna, khususnya pesakit kencing manis, perlu bertanggungjawab menjaga kesihatan diri. Kencing manis boleh menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan jika pesakit turut menghidap penyakit lain, termasuk sakit jantung.

“Kencing manis juga menyebabkan masalah penyakit jantung semakin kompleks dan sukar dirawat. Badan pesakit jantung yang menghidap kencing manis menunjukkan tindak balas kurang memberangsangkan walaupun diberikan rawatan terbaik, sama ada pembedahan pintasan jantung atau angioplasti belon (membuka saluran darah tersumbat).

“Lebih buruk, masalah salur darah tersumbat lebih mudah berulang di kalangan pesakit kencing manis, terutama jika mereka tidak mengawal pemakanan dan bersenam,” katanya.

TEKANAN DARAH TINGGI

Hampir satu pertiga (33 peratus) penduduk dewasa di negara kita mengalami masalah tekanan darah tinggi. Ia seolah-olah menjadi perkara lazim dan fenomena ini membimbangkan kerana ramai tidak peduli memeriksa tekanan darah mereka.

Kumpulan ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu tidak tahu mereka mengalami masalah tekanan darah tinggi, tahu ada masalah tetapi tidak mengambil ubat dan golongan ketiga; tahu ada masalah dan mengambil ubat.

Malangnya, daripada kumpulan ketiga ini peratusan yang patuh mengambil ubat sangat kecil kerana kebanyakannya berhenti separuh jalan. Sedihnya, ramai lebih percaya kepada ubat atau rawatan alternatif, walaupun tiada bukti keberkesanannya.

Tekanan darah tinggi dan penyakit jantung sebenarnya saling berkait. Tekanan darah menjadi tinggi kerana jantung terpaksa mengepam darah lebih kuat untuk membekalkan oksigen ke seluruh badan.

Ia boleh disebabkan masalah obesiti atau saluran darah sempit akibat pemendapan kolesterol.

Perlu diingat, jantung yang dipaksa bekerja kuat sepanjang masa boleh mengalami kegagalan pada bila-bila masa dan ketika inilah kita mendapat serangan jantung.

KOLESTEROL

“Ramai mempunyai anggapan salah terhadap kolesterol. Kolesterol bukan satu-satunya penyebab sakit jantung kerana rokok, kencing manis dan tekanan darah tinggi sebenarnya boleh merosakkan lapisan dalam salur darah.

“Kolesterol hanya berkumpul pada bahagian arteri yang alami kerosakan. Inil sebabnya bukan semua orang yang ada masalah paras kolesterol tinggi akan diserang penyakit jantung,” katanya.

Kolesterol diperlukan sebagai agen pengangkut lemak. Makanan hanya menumbang 20 peratus kolesterol dan 80 peratus lagi dihasilkan oleh hati — sebagai tindak balas terhadap pemakanan kita.

Memang benar kolesterol hanya wujud dalam lemak haiwan dan tiada dalam minyak berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Namun, makanan yang dimasak menggunakan minyak sayur-sayuran tetap merangsang hati untuk menghasilkan kolesterol. Darah tidak boleh membawa lemak ini untuk dicerna dan tugas ini diambil alih oleh kolesterol.

Maknanya, lebih banyak lemak atau minyak dimakan, lebih banyak kolesterol dihasilkan. Jadi, walaupun kita memasak menggunakan minyak sayur, penggunaan berlebihan boleh meningkatkan paras kolesterol dalam darah. Perkara ini sering disalah anggap kebanyakan masyarakat hari ini.

“Kita sepatutnya makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Usus manusia yang panjang lebih sesuai untuk diisi dengan serat. Serat bertindak sebagai pelincir untuk mengeluarkan bahan buangan daripada badan. Perubahan corak pemakanan ke arah pengambilan lebih banyak daging dan lemak menyebabkan paras kolesterol meningkat yang boleh merangsang penyakit jantung.

“Bagi individu yang ada paras kolesterol tinggi (iaitu melebihi 5.2 milimol/liter) kurangkan pengambilan lemak haiwan, telur, daging, keju, mentega, makanan laut dan jangan makan kulit ayam. Selain itu, gunakan minyak poli tak tepu untuk memasak,” katanya.

Bukan semua orang yang alami masalah paras kolesterol tinggi perlu mengambil ubat. Jika masih muda dan sihat, mereka hanya perlu menjaga pemakanan dan bersenam.

Ubat hanya diberi kepada individu berumur dan ada pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi serta kencing manis.

Ubat merendahkan kolesterol hanya dapat membantu mengurangkan risiko penyakit dan serangan jantung jika diambil secara berterusan dalam tempoh lama.

Pengambilan ubat dalam jangka masa sekejap seperti beberapa bulan tidak memberi kesan kerana paras kolesterol akan naik dan turun mengikut amalan pemakanan kita.

RAWATAN

Ada tiga jenis rawatan untuk pesakit jantung iaitu pengambilan ubat merendahkan kolesterol, angioplasti belon dan pembedahan.

Jika pemendapan kolesterol kurang daripada 50 peratus, individu berkenaan hanya akan diberikan ubat, perlu mengubah pemakanan dan bersenam.

Tiga cara ini secara perlahan-lahan dapat membersihkan salur darah.

Senaman aerobik iaitu pergerakan sama yang berulang (seperti berjalan, joging, berbasikal dan berenang) selama 20 hingga 30 minit sehari perlu dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Kata Dr Lee, pembedahan bukan penyembuh tetapi hanya penyelesaian sementara kepada masalah jantung. Masalah kesihatan jantung tidak berhenti selepas pembedahan kerana ia boleh berulang jika pesakit tidak mengambil langkah mengelakkan semua faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit berkenaan.

Untuk mengelakkan penyakit jantung juga mudah iaitu dengan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan, terutama bagi individu berumur 35 tahun ke atas (lelaki) dan 40 (wanita) jika tiada sejarah keluarga mendapat sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti.

Ada enam langkah untuk memastikan jantung kita sentiasa muda iaitu :

1. Berhenti merokok (jangan cuba, tetapi berhenti terus).

2. Amalkan pemakanan sihat.

3. Bersenam.

4. Belajar mengendalikan tekanan.

5. Sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi.

6. Jalani pemeriksaan kesihatan tahunan.


LIMA TANDA SAKIT JANTUNG


Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



PEMERGIAN pelakon dan pengacara terkenal, Hani Mohsin Hanafi, 41, akibat serangan jantung memberi kejutan dan seharusnya dijadikan iktibar kepada kita semua, khususnya yang mempunyai sejarah keluarga menghidap sakit jantung.

Ramai terkejut kerana beliau meninggal dunia pada usia muda. Malah, rakan artis yang rapat dengannya juga tidak tahu arwah ada masalah jantung. Sebenarnya inilah perkara biasa berlaku kepada mangsa serangan jantung lain.

Walaupun ramai beranggapan sakit jantung tiada simptom, tetapi menurut Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Chong Wei Peng, ada lima tanda yang perlu diperhatikan.

Katanya, FACES adalah cara mudah untuk mengenali tahap kesihatan diri. Walaupun ia bukan penunjuk tepat kepada masalah jantung, tetapi jika semua ciri umum ini ada pada kita, bermakna kita perlu bimbang terhadap tahap kesihatan diri.

Semua tanda (lihat carta di bawah) mudah dikesan. Yang diperlukan hanya kepekaan terhadap perubahan diri kerana penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab kita. Jika ada beberapa tanda, segera menjalani pemeriksaan kerana walaupun bukan disebabkan masalah jantung, ia mungkin menjadi petanda kepada penyakit lain.

“Penyakit jantung tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk terbentuk secara tidak disedari. Sakit jantung adalah satu penyakit yang mempunyai spektrum luas kerana ia berkait dengan masalah lain seperti tekanan darah tinggi, aterotrombosis dan kegagalan jantung.

“Namun, paling penting ialah mengawal tekanan darah kerana tekanan tinggi menandakan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan. Apabila jantung dipaksa bekerja lebih kuat daripada sepatutnya, ia menjadi besar dan kurang cekap, akhirnya menyebabkan kegagalan jantung,” katanya.

Perunding Kardiologi UMMC, Profesor Dr Haizal Haron Kamar, pula berkata penyakit jantung atau kardiovaskular adalah pembunuh utama penduduk di negara ini dan jumlah pesakit tidak pernah berkurang sejak dua dekad lalu.

Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2004, sembilan peratus daripada kemasukan pesakit ke semua hospital adalah disebabkan masalah kegagalan jantung dan edaran darah.

Apabila disebut mengenai sakit jantung, rasanya semua orang tahu. Namun, kata Dr Haizal, masih ramai tidak memberi perhatian kepada penyakit ini, termasuk faktor risiko. Malah, masih ramai juga tidak tahu mengenai atherotrombosis yang menyebabkan 28 peratus kematian — jauh lebih tinggi berbanding kanser dan penyakit berjangkit lain.

Masalah tersembunyi Aterotrombosis berlaku apabila darah membeku di atas plak (lapisan lemak di dinding salur darah) pecah. Darah beku ini akan membuat lapisan di atas plak tadi. Pembentukan darah beku secara berterusan boleh menghalang aliran darah. Apabila aliran darah tersekat, ia menyebabkan serangan jantung (jika berlaku pada salur darah ke jantung) atau strok (jika saluran darah ke otak terhalang).

Dr Haizal berkata, faktor ini menjadi masalah asas kepada strok iskemia (aliran darah yang tidak mencukupi ke otak), serangan jantung, serangan iskemia, sindrom koronari akut dan kerosakan pembuluh darah.

Ini sebabnya setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelak semua faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Hanya ada empat faktor risiko yang tidak boleh diubah iaitu jantina (lelaki), peningkatan umur, bangsa dan sejarah keluarga mendapat sakit jantung.

Manakala faktor risiko seperti senarai di bawah boleh diubah dan dikawal iaitu :

1. Kencing manis.

2. Paras kolesterol tinggi.

3. Tekanan darah tinggi.

4. Kurang aktiviti fizikal dan bersenam.

5. Masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

6. Pemakanan tidak seimbang.

7. Merokok.

Pensyarah dan Perunding Kardiologi PPUM, Dr Nik Halmey Nik Zainal Abidin, berkata gejala seperti hidung sering berdarah dan sakit kepala adalah petanda tekanan darah terlalu tinggi. Bagaimanapun, jika tekanan tidak terlalu tinggi (tetapi melebihi tahap normal iaitu kurang 140/85 mmHg) ia tidak mempunyai gejala.

Ini sebabnya ramai tidak sedar mereka sebenarnya menghidap tekanan darah tinggi. Jika tidak dikawal ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, mata dan otak. Penurunan sebanyak dua mmHg membawa banyak manfaat kepada pesakit kerana ia dapat mengurangkan tujuh peratus kematian.

“Kira-kira 24 peratus rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas mengalami masalah tekanan darah tinggi, tetapi hanya 18 peratus mendapatkan rawatan dan mengawal tekanan darah mereka. Manakala 13 peratus mengambil ubat tetapi tekanan darah tidak terkawal dan 53 peratus lagi tidak tahu mereka ada masalah ini,” katanya.

Cara mudah untuk mengawal tekanan darah ialah menjaga pemakanan dengan mengurangkan pengambilan garam (hanya satu camca teh sehari) dan bersenam.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk menjaga pemakanan di negara yang mewah dengan sajian enak ini, tetapi semuanya perlu dilakukan demi kesejahteraan diri.

Lima tanda untuk diperhatikan :

1. Kelesuan (F).

2. Aktiviti menjadi terhad (A).

3. Dada terasa sesak (C).

4. Buku lali bengkak atau edema (E).

5. Sesak nafas (S).


REMEDI TRADISIONAL BAGI JANTUNG


APA Itu Kolesterol?

Kolesterol adalah molekul yang dijumpai dalam setiap sel dalam tubuh dan hadir dalam sejumlah besar dalam tisu-tisu saraf dan otak.

Kolesterol juga hadir dalam kulit, kelenjar adrenal dan hati serta menjadi bahan penting dalam selaput berlemak yang menjadi penebat kepada saraf. Ia penting kepada struktur dan fungsi semua sel dalam tubuh, selain menjadi komponen penting kepada membran sel.

Kolesterol yang terhasil dalam tubuh adalah daripada hati (iaitu 80 peratus) manakala selebihnya datang daripada makanan.

Walaupun ia diperlukan oleh tubuh, namun kolesterol yang berlebihan yang tidak digunakan oleh tubuh akan memberi risiko dan membahayakan kesihatan.

Senaman, Diet dan Suplemen

Kolesterol dalam kebanyakan kes boleh dikawal melalui diet, senaman, pengambilan suplemen, pengurangan stres dan juga perubahan lain dalam gaya hidup. Senaman fizikal memberi kesan yang signifikan ke atas kejadian dan perkembangan aterosklerosis.

Tujuannya adalah untuk memperolehi paras LDL (kolesterol berbahaya) dan trigliserida yang rendah dalam darah, iaitu pada tahap di mana lemak dalam plak dan arteri dihapuskan dan kolesterol kembali ke paras selamat dan normal.

Guggul yang juga dikenali sebagai Commiphora Mukul atau Guggulipid adalah herba yang berkesan dalam mengawal kegemukan dan kolesterol, yang telah digunakan selama 2,000 tahun.

Secara tradisionalnya ia dikenali sebagai agen membakar lemak dan kini semakin popular di Amerika, Jepun, Eropah dan negara-negara Barat.

Ia telah lama diketahui dalam merendahkan kolesterol dan trigliserida, dan dalam masa yang sama mengekal atau memperbaiki nisbah high density lipoprotein (kolesterol berguna) dan low density lipoprotein (kolesterol berbahaya).

Pengambilan Guggul juga didapati boleh merendahkan kolesterol antara 14-27 peratus dan trigliserida antara 22-30 peratus.

Saranan harian adalah berdasarkan jumlah guggusterone (bahan aktifnya) dalam ekstrak tersebut. Guggul memberi kesan ke atas hati dengan meningkatkan metabolisme (atau memecahkan) kolesterol LDL.

Herba ini juga didapati berguna dalam menangani masalah aterosklerosis dengan mengurangkan plak dalam arteri.

Dalam kes kegemukan, guggul meningkatkan kadar metabolisme tubuh dan memperbaiki fungsi tiroid, meningkatkan aktiviti pembakaran lemak dalam tubuh dan meningkatkan pengeluaran haba.

Guggul mengurangkan platelet daripada pelekitan dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.

Ekstrak red yeast mempunyai bahan yang menyerupai statin (ubat yang digunakan untuk merawat masalah kolesterol) yang didapati menghalang sistesis kolesterol. Sejak tahun 1970-an kajian ke atas menunjukkan red yeast rice membantu merendahkan kolesterol total, low density lipoprotein (kolesterol berbahaya) dan paras trigliserida.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol, lesitin juga boleh diambil kerana ia membantu dalam pemecahan lemak.

Aktiviti fizikal seperti berjalan, joging, mengayuh basikal, berenang dipanggil senaman aerobik yang banyak manfaatnya kepada kesihatan jantung dan memperbaiki peredaran darah. Mulakan dengan intensiti yang rendah dan tingkatkannya secara perlahan.

Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi antara 3 hingga 5 kali seminggu. Senaman didapati membantu meningkatkan paras kolesterol berguna di samping merendahkan kolesterol berbahaya.

Faktor pemakanan seharusnya tidak boleh diabaikan dengan mengambil makanan yang tinggi kandungan serat, terutamanya melalui buah-buahan dan sayur-sayuran.

Antaranya termasuklah kekacang, oat dan barli. Begitu juga dengan jus karot, saderi dan sayuran lain tidak kurang pentingnya dalam membantu menyingkirkan lemak daripada badan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...